Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, tumpuan akan diberikan terhadap pekerja warga asing dalam sektor pembuatan dan perindustrian kerana bilangan pekerja dalam sektor ini antara yang tertinggi.

Menurutnya, pada masa yang sama kerajaan negeri turut menggalakkan pelabur dan pengusaha sektor industri untuk membina penempatan asrama pekerja asing secara berkelompok dan bersistematik bagi mengelak sebarang rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk tempatan.

“Kerajaan sendiri telah membina empat asrama yang menempatkan pekerja warga asing iaitu di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah untuk sejumlah 1,656 orang; Kawasan Perindustrian Merlimau (952 orang); Terminal Kenderaan Berat Gangsa (1,656 orang) dan Kawasan Perindustrian FTZ Batu Berendam (960 orang) yang keseluruhannya menempatkan seramai 5,224 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri di sini hari ini.

Mohd. Rafiq (PH-Paya Rumput) menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) berhubung adakah kawasan khas diwujudkan kerajaan negeri berhubung penempatan pekerja asing.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini tidak mengenakan sebarang syarat bagi kawasan yang dikhaskan untuk penempatan pekerja asing namun pihaknya bersedia berunding dengan pelabur dan pekilang untuk mencari mekanisme terbaik bagi menempatkan mereka secara lebih sistematik

“Kita juga menggalakkan syarikat swasta untuk membina penempatan asrama warga asing sebagaimana yang dibangunkan oleh Xinyi Melaka di Lipat Kajang.

“Kerajaan negeri sedia menawarkan lokasi bersesuaian termasuk pertimbangan tanah kepada pelabur untuk penyediaan asrama warga asing ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE