Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd. Rahman berkata, persijilan itu penting supaya produk pertanian yang dihasilkan diiktiraf sebagai selamat untuk dimakan.

Menurutnya, pada tahun ini sebanyak RM180,000 diperun­tukkan kerajaan menerusi Jabatan Pertanian negeri bagi pelaksanaan persijilan myGAP dengan melibatkan seramai 18 peserta.

“Bagi insentif myGAP, kerajaan menyediakan insentif tersebut untuk membantu para usahawan tani mendapatkan persijilan tersebut dan mengekalkan persijilan.

“Pelbagai jenis bantuan dan insentif diberikan antaranya berbentuk infrastruktur ladang supaya ia dapat membantu kawasan pertanian mereka mempunyai sistem yang lebih kemas dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Persijilan myGAP dan MyOrganik di Dewan Alamanda, Jasin di sini.

Yang hadir sama, Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Hamid Omar dan Timbalan Pe­ngarah Pertanian negeri, Juliawaty Sulaiman.

Sementara itu, Hasan membe­ritahu, produk yang diiktiraf de­ngan persijilan tersebut adalah layak untuk menggunakan logo myGAP yang sememangnya dikenali di suluruh Asia, malah di peringkat global hasil usaha kerajaan dalam mencipta ruang pasaran bagi produk pertanian dari Malaysia.

“Justeru, saya berharap golo­ngan ini dapat merebut peluang itu dalam melaksanakan aktiviti pertanian dengan lebih sistematik, dan teratur,” katanya.