Pengerusi Persatuan Joging Negeri Melaka, Datuk Nazari Adzim berkata, pihaknya kerap me­nganjurkan aktiviti riadah yang bukan sahaja terhad untuk penglibatan ahli mereka, tetapi penyertaan dibuka kepada orang ramai.

“Program kita bukan setahun sekali, tetapi setiap minggu akan ada aktiviti. Contohnya, setiap pagi Ahad dari pukul 7 pagi hingga 8 pagi kita adakan acara jo­ging di sepanjang Sungai Melaka.

“Orang ramai yang turut serta dalam aktiviti itu boleh me­netapkan jarak larian masing-masing kerana setiap individu mempunyai tahap kemampuan yang tersendiri. Jika kita mengelilingi Sungai Melaka, sekurang-kurangnya 9 kilometer dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian se­­­lepas pelancaran Program Ka­yuhan Basikal dan Joging Mer­deka sempena meraikan kemerdekaan negara kali ke-60 anjuran Persatuan Joging Ne­geri Melaka dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) negeri di pekarangan Menara Taming Sari di sini.

Program tersebut yang dilancarkan oleh Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Mohd. Ali Mohd. Rustam turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin.

Sementara itu, Mohd. Ali memberitahu, program pada ha­ri ini dapat merapatkan lagi hubungan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini sempena menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-60 pada 31 Ogos ini.

“Saya harap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan mengadakan program seperti ini bagi membina masa depan negara yang lebih gemilang dengan semangat sehati dan sejiwa, kita bangun bersama,” katanya.