Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Seri Md. Yunos Husin berkata, sebagai langkah ke hadapan bagi melaksanakan gagasan pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50), kerajaan negeri perlu menyediakan pelbagai platform bagi membangunkan masayarakat iaitu modal insan kelas pertama yang memiliki jati diri tinggi bagi mengisi rakyat negara maju dan berkualiti.

Katanya, Perpustam perlu me­­­mainkan peranan yang sama pen­­ting dengan sekolah dan institusi pengajian lain dengan memberikan didikan kepada masyarakat bagaimana mendapatkan maklumat dan mempro­ses maklumat tersebut menjadi ilmu yang yang akan membantu masyarakat dalam kehidupan masa kini.

“Walaupun kini wujud pelbagai gajet dengan talian internet yang berada di hujung jari, perpustakaan juga perlu lebih peka dengan perkembangan teknologi terkini dengan memberi didikan dan tapisan maklumat yang benar daripada sumber yang sahih.

“Saya percaya pemilihan Melaka Sentral sebagai perpustakaan terbuka yang pertama di negeri ini adalah tepat sebagai bahan rujukan dan bacaan santai kepada pengunjung,” katanya ketika berucap merasmikan Perpustakaan Terbuka Perpustam di terminal tersebut di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perpustam, Datuk Amirudin Yusof; Pengarah Perpustam, Moha­med Aizammuddy Mohamed Id­ris dan Pengurus Besar Melaka Sentral, Abu Bakar Jani.

Perpustakaan Terbuka Melaka Sentral dimulakan sejak September lalu dan menyediakan bahan bacaan berbentuk santai berjumlah 638 naskhah kepada orang ramai terutama mereka yang menunggu bas ekspres di terminal itu.