Bantuan menerusi program Ceria Kembali Ke Sekolah itu adalah berupa kelengkapan persekolahan seperti pakaian, peralatan menulis, beg sekolah dan cermin mata dan disampaikan oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Dewan Seri Umbai, Serkam.

Ahmad dalam ucapan perasmian program itu berkata, pemberian bantuan tersebut membuktikan Felcra adalah agensi yang sentiasa menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan khususnya dalam kalangan ahli keluarga peserta tanah rancangan agensi itu.

Katanya, bantuan tersebut turut membuktikan segala janji dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa semua syarikat milik kerajaan (GLC) turut serta dalam program kebajikan kepada rakyat dan ia direalisasikan dengan sempurna.

“Dalam program ini Felcra bukan sahaja menyumbang pa­kaian sekolah, tetapi turut membuktikan GLC berkenaan sebagai sebuah agensi yang cukup bertanggungjawab bagi memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk peserta dapat sama-sama mengecapi limpahan ekonomi dalam negara.

“Bagi pihak penerima di Parlimen Jasin, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang bermurah hati untuk menyampaikan bantuan kepada anak-anak kita ini,” katanya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felcra itu merupakan julung-julung kali diadakan di Parlimen ini bertujuan meri­ngankan beban keluarga peserta, di samping memberi semangat kepada murid yang bakal memulakan sesi pembelajaran pada 2 Januari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Felcra Wilayah Tengah, Ahmad Salleh dan Pengurus Kanan Media dan Komunikasi Felcra, Misrom Matleham.

Jasin merupakan Parlimen pertama dikunjungi Felcra di negeri ini bagi tujuan penyampaian bantuan persekolahan ber­kenaan.

Seramai 18,000 anak peserta Felcra membabitkan 27 kawasan Parlimen seluruh negara bakal menerima bantuan berkenaan secara berperingkat-peringkat.