Sepanjang program tersebut, pelbagai acara menarik disediakan termasuk sukaneka, peraduan mewarna, pertandingan tarik tali, mencari harta karun dan acara padang.

Majlis penutupan program itu disempurnakan oleh Presiden DMDI yang juga Pengerusi Yayasan DMDI, Tan Sri Mohd. Ali Rustam.

Mohd Ali memberitahu, pe­nganjuran program itu tepat pada masanya untuk mengeratkan hubungan antara kakitangan dan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, kejayaan sesuatu organisasi banyak bergantung kepada keharmonian di dalam institusi kerana ia menjadi inspirasi kepada pekerja terbabit untuk meningkatkan prestasi kerja ketika di pejabat.

“Kecemerlangan seseorang pekerja itu tidak hanya bergantung kepada usahanya sendiri semata-mata tetapi turut memerlukan sokongan daripada setiap ahli keluarga.

“Menerusi program seperti ini, kakitangan diberi peluang berinteraksi secara lebih akrab dengan ahli keluarga di samping rakan setugas.

“Justeru itu program ini wajar diadakan secara tahunan untuk memupuk persefahaman dan kemesraan dalam kalangan kakitangan Yayasan DMDI,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Yayasan DMDI, Datuk Sharabuddin Kudus; Pengurus UTC Melaka, Siti Aisyah Mahmood dan Pengurus Rumah Amal Yayasan DMDI, Datuk Abu Dolah Hitam.

Mohd. Ali berkata, Yayasan DMDI yang mempunyai lebih 10 entiti perniagaan termasuk UTC Melaka, Taman Mini Malaysia dan ASEAN dan DMDI Travel & Tours mampu muncul sebagai konglomerat terkenal pada suatu masa nanti di bawah kepimpinan sedia ada.

Justeru katanya, setiap kakitangan perlu memberi kerjasama dan komitmen yang jitu ke arah memantapkan lagi operasi Yayasan DMDI pada masa depan.

“Semangat bekerja dalam satu pasukan amat penting dalam u­saha kita membina empayar perniagaan pada masa depan. Tetapi ini semua memerlukan kakitangan yang komited dan bertanggungjawab terhadap tugas masing-ma­sing,” katanya.