Program Kibar Jalur Gemilang dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan itu diadakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara ini.


Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Alor Gajah, Zaidi Mohd. berkata, program ini diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran tentang inisiatif memasang Jalur Gemilang yang kian berkurangan sejak kebelakangan ini.


“Kita dapat lihat ketika ini tidak ramai pengguna kenderaan yang memasang Jalur Gemilang pada kenderaan mereka walaupun sambutan Hari Kebangsaan 2017 tinggal beberapa hari sahaja lagi.


“Untuk itu kita edarkan Jalur Gemilang dan pada masa yang sama mengedarkan lima unit topi keledar dan 10 jaket pantulan cahaya kepada pengguna di kawasan Masjid Tanah,” katanya selepas program tersebut yang diadakan di hadapan Balai Polis Masjid Tanah di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Ismail Hasim dan wakil MKJR, Muhammad Qaiyyum Ashakari. - UTUSAN ONLINE