Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, langkah itu perlu memandangkan bidang tersebut amat penting kepada negara pada masa ini dan masa depan sejajar inspirasi negara untuk melonjakkan perindustrian arah Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Menurutnya, usaha berke­na­an telah disasarkan dalam perkembangan negara dan juga disokong teguh oleh Bajet 2018 dengan mengetengahkan sistem cyber-physical, connectivity, Internet-of-Things serta teknologi-teknologi lain untuk mewujudkan komunikasi efektif dalam alam siber bagi aras automasi yang lebih tinggi.

“Industri 4.0 bukan sahaja mengubah amalan kerja di dalam bidang pembuatan malah telah dan akan terus mengubah banyak proses kerja di dalam bidang lain termasuk kehidupan seharian kita.

“Semua ini tidak akan dicapai tanpa perkembangan teknologi sains, robotik dan automasi. Justeru, saya amat berkeyakinan bahawa pemba­ngunan modal insan dan juga penerokaan teknologi tinggi dalam bidang robotik dan automasi saintifik semakin kritikal serta perlu diberi tumpuan serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­tika berucap merasmikan Per­sidangan Antarabangsa Ro­botik, Automasi dan Sains (Icoras) 2017 di Kampus Universiti Multimedia Malaysia (MMU) Melaka, Bukit Beruang, di sini.

Hadir sama Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq; Naib Pre­siden (Akademik) MMU, Prof. Dr. Hishamuddin Ismail dan Pe­ngarah MMU Kampus Me-laka, Dr. Mohd Rizal Abdul Razak.

Pengajuran kali kedua Icoras bertujuan untuk mempamerkan kajian terkini serta dapatan saintis, jurutera, pendidik serta pelajar berkaitan topik sains, robotik dan automasi.

Menurutnya, persidangan ini juga dapat membuka peluang kepada delegasi dari pelbagai bidang berlainan untuk bertukar-tukar idea dan aplikasi baharu, mewujudkan hubungan perniagaan dan kajian, serta mencari rakan kongsi untuk kerjasama masa depan.

“Saya berharap para penyelidik dapat mencurahkan idea kreatif dan inovatif, melaksanakan lebih banyak penyelidikan yang dapat membantu industri di Malaysia khasnya para ahli industri kecil dan sederhana, untuk sama-sama membantu negara mencapai matlamat ter­sebut,” tambahnya.