CHE SUZA CHE HITAM
CHE SUZA CHE HITAM

Allahyarham yang berusia 59 tahun meninggal dunia pada pukul 9.50 malam tadi setelah dikatakan terlantar selama tiga tahun akibat kemalangan yang dialaminya pada tahun 2015.

Sewaktu berkhidmat, Allahyarham Che Suza merupakan Ketua Polis Daerah Kemaman memegang jawatan sebagai Superintenden dan beliau pernah menjadi Ketua Polis Daerah Jasin selama lima tahun.

Pada 27 Mac 2015, Allahyarham terlibat dalam nahas iaitu cedera parah di kepala dan pinggul selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki bersama isterinya terbabas dan merempuh pembahagi tengah di Kilometer 269.4, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran Cheneh, Terengganu.

Allahyarham Che Suza mempunyai pengalaman yang luas dan pernah bertugas di seluruh negara termasuk di Sabah, dan pernah menjadi pemerhati untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Mozambique serta menjadi Penasihat Teknikal PBB di Timor Timur selama setahun pada 2000.

Di Sabah, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengurusan Daerah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan selama tujuh tahun dan memikul tanggungjawab sebagai Ketua Trafik Daerah Teluk Intan selama hampir tiga tahun, Pegawai Penyiasat di IPD Seremban (dua tahun) dan Pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan di Kuala Lumpur, Seremban dan Ipoh.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tun Abdul Razak, Bukit Katil di sini pada pukul 11.30 pagi ini.

Allahyarham meninggalkan isteri, Mazlina Mokhtar, 53, dan tiga orang anak. - UTUSAN ONLINE