Abdullah Omar
Abdullah Omar 

Masalah itu didakwa berpunca daripada kebocoran paip di kawasan berhampiran menyebabkan tekanan air ke tangki simpanan air PPR tersebut rendah dan tangki penyelenggaraan pula rosak.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong, Abdullah Omar, 53, berkata, masalah yang dihadapi kira-kira 3,000 penduduk itu merupakan kejadian pertama sejak penduduk menduduki PPR itu pada April 2016.

Menurutnya, akibat masalah itu, penduduk terpaksa mengambil dan menggunakan bekalan air bersih daripada surau perumahan tersebut bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti harian seperti memasak, membersihkan diri dan sebagainya.

“Apa yang agak mengecewakan kami adalah tiada seorang pun wakil daripada Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang menyelia PPR ini hadir walaupun beberapa aduan telah dibuat oleh penduduk sejak hari pertama masalah air ini berlaku.

“Kami tidak pasti punca sebenar masalah ini hingga berlarutan terlalu lama tetapi pihak ber­kenaan perlu membantu penduduk menyediakan bekalan air dengan apa cara sekali pun.

“Sehingga hari ini, tak ada sebuah lori air pun datang hantar bekalan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu sidang akhbar di PPR Krubong, di sini baru-baru ini.

Jelas Abdullah, masalah yang berlarutan selama empat hari itu menyebabkan penduduk berdepan kesukaran terutama golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan penduduk yang tinggal di unit atas.

“Saya difahamkan masalah ketiadaan air ini berpunca daripada tangki utama namun masalah sebenar masih tidak dapat dipastikan kerana belum ada pihak berkenaan datang memberi penjelasan atau sebagainya.

“Buat masa ini semua penduduk bergantung kepada bekalan air surau sahaja dan kami bimbang ia akan menjejaskan pula bekalan air untuk kegunaan bersolat,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya telah membuat aduan kepada pegawai wakil rakyat kawasan Paya Rumput mengenai perkara tersebut dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Kita harap LPM dapat hantar bekalan air bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera sebagai penyelesaian jangka pendek sementara menunggu masalah itu diselesaikan sepenuhnya,” katanya.