Intan Shafinaz Mohd. Arshad, 19, terpaksa melupakan hasrat untuk mencari pekerjaan se­perti yang dilakukan kebanyakan rakan-rakannya untuk mencari pendapatan sampingan bagi meringankan beban keluarga sebelum menyambung pelajaran.

Katanya, kini masanya dihabiskan di rumah menjaga datuk, Dolmat Jantan, 77, yang tidak mampu berjalan selepas me­ngalami kecederaan teruk di bahagian punggung akibat terjatuh di samping menemani nenek yang telah berusia.

Menurutnya, dia yang tinggal bersama mereka termasuk ibu serta empat adik-beradik yang lain mendiami rumah yang serba kekurangan itu sejak lebih 10 tahun lalu selepas ibu bapanya bercerai.

“Sebelum ini datuk pernah menjalani pembedahan memotong kaki kiri akibat penyakit kencing manis 10 tahun lalu, dan selepas itu beliau masih boleh lagi bergerak menggunakan tongkat.

“Namun Disember lalu, datuk saya terjatuh ketika mahu mencapai tongkat menyebabkannya sehingga sekarang tidak mampu bangun seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih Parlimen Masjid Tanah.

Lawatan itu diketuai Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Kampung Bukit Apit, di sini baru-baru ini.

Intan Shafinaz berkata, kea­daan datuknya yang tidak boleh bergerak itu, memerlukan bantuannya untuk memandikan dan menyalin lampin pakai buang kerana kudrat nenek yang sudah tua dan tidak kuat.

Katanya, untuk menyenangkan dia sanggup mengambil alih tugas itu kerana ibunya pula gigih bekerja untuk mencari nafkah mereka sekeluarga dengan pergi mengasuh kanak-kanak di rumah orang setiap hari.

“Sebagai cucu itu, sahaja yang mampu saya balas jasa datuk nenek yang telah banyak membantu kami sekeluarga sebelum ini selagi mereka masih ada," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati, berkata biarpun sumbangan itu dalam jumlah yang kecil, namun pihaknya berharap masyarakat sedar Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah sedia untuk membantu sekiranya mereka memerlukan bantuan.

“Namun kita akan menapis dan menyiasat terlebih dahulu permohonan dan aduan yang dibuat penduduk berhubung kepayahan yang ditanggung kerana ia perlu disalurkan kepada penduduk yang selayaknya menerima,” katanya.

Dalam program, Mas Ermieyati berkesempatan melawat enam buah rumah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik.