Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pembinaan tapak pelupusan seluas 7.28 hektar berhampiran kawasan pelupusan lama itu dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat selepas kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM16.5 juta bagi projek tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah peruntukan berkenaan tidak termasuk kos pembinaan insinerator atau mesin pembakaran yang memerlukan modal tambahan bagi membolehkan tapak tersebut dilengkapi sistem canggih seterusnya mampu digunakan untuk jangka masa lebih lama.

“Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan dan tapak tersebut akan segera dibina setelah peruntukan berkenaan diluluskan sekali gus dapat me­ngurangkan tekanan di tapak pelupusan sedia ada yang kini telah penuh 100 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, di sini.

Jelas Idris, pihaknya terpaksa mencari jalan untuk membina pusat pelupusan baharu memandangkan tapak sedia ada di Sungai Udang penuh dua tahun lebih awal daripada tempoh jangkaan.

“Tapak pelupusan di Sungai Udang sekarang sepatutnya boleh menampung sampah sehingga 2019 tetapi penuh lebih awal disebabkan masalah pada mesin materials recovery facility (MRF) yang berfungsi mengasingkan si­sa pepejal boleh kitar semula dan sampah lain,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, beliau berharap agar pusat pelupusan baharu itu akan dilengkapi dengan mesin serta kemudahan canggih yang mampu memaksimumkan penggunaan pusat tersebut selain memanjangkan tempoh kegunaannya.

“Kerajaan negeri mahu pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang bertanggungjawab ke atas perkara ini ambil maklum dengan masalah yang berlaku dan mencari jalan memastikan pusat pelupusan baharu kelak mematuhi sistem tersebut.

“Selain itu, kita juga berharap tapak berkenaan dapat dilengkapi dengan insinerator supaya sampah yang dihasilkan dapat diminimumkan melalui proses pembakaran dan secara tidak langsung mampu menghasilkan tenaga bagi kegunaan rakyat di negeri ini,” tambahnya.