Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, program yang dilaksanakan itu bukan hanya melibatkan satu daerah malah ke­semua tiga daerah yang terdapat dalam negeri itu termasuk Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah.

Menurutnya, usaha mendekati golongan muda yang juga bakal pemimpin negara pada masa depan itu membuktikan keseriusan kerajaan negeri mendokong agenda TN50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Melaka mengambil peranan serius kerana penting untuk berbicara dan mendengar suara orang muda demi merencana sesuatu yang lebih baik buat negara pada masa depan.

“Langkah yang diambil ini juga merupakan usaha memperluaskan lagi jalinan mesra antara pemimpin dengan golongan belia bagi membentuk keserasian demi kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Siri Dia­log TN50 Daerah Melaka Tengah ‘Masa Depan Negaraku’ di Kolej Antarabangsa Putra, Ayer Keroh di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol serta Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib yang bertindak sebagai moderator.

Idris berkata, idea dan panda­ngan orang muda penting untuk difahami serta diambil kira kerana mereka mampu memandang ke hadapan serta mempunyai daya pemikiran berbeza dengan generasi terdahulu.

“Justeru, dengan mengetahui aspirasi serta kemahuan golo­ngan ini yang relevan pada masa hadapan, kita dapat mengambil langkah untuk merencanakan sesuatu yang lebih baik demi meningkatkan kualiti kehidupan.

“Saya juga berharap dialog se­perti ini dapat diteruskan lagi di tahun-tahun akan datang kerana ia merupakan platform bermanfaat serta berkesan untuk mendekati golongan ber­kenaan,” ujarnya.

Sementara itu, golongan belia yang hadir sempat berdialog secara terus dengan Idris untuk mendapatkan penjelasan mengenai visi kerajaan selain menyatakan aspirasi mereka.

Antara isu yang diketengahkan dan mahu diambil serius oleh kerajaan termasuklah penambahbaikan sistem pendidikan negara, penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, memperkasakan bidang perguruan, memperluaskan kemudahan sistem pengangkutan awam di seluruh negara dan sebagainya.