Terletak di Jalan Lagenda 3, Taman Lagenda di sini, restoran tersebut memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati hidangan asam pedas dengan pelbagai pilihan ikan seperti pari, tenggiri, kembung, jenahak selain tetel pada harga serendah RM12 bersama sepinggan nasi.

Bagaimanapun, menurut pemilik restoran tersebut, Arham Syafiq Azmi, 30, hidangan istimewa mereka adalah Asam Pedas Lobster kerana masakan itu sukar untuk ditemui di kedai makanan lain.

Katanya, hidangan tersebut menjadi tarikan di restoran yang baru enam bulan beroperasi dengan memperkenalkan menu udang kara yang sehingga kini terjual antara tujuh hingga lapan ekor sehari.

"Ini bukanlah satu resipi tangkap muat, tetapi kita buat banyak percubaan termasuk mencari tukang masak yang betul-betul berkemahiran supaya pelanggan berpuas hati dan terasa ingin datang lagi ke restoran kami.

"Bagi saya, apa yang membezakan masakan asam pedas itu adalah rasanya yang enak. Menu ini (asam pedas lobster) juga dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan bersama beberapa orang chef terkenal," katanya.

Menurut Arham Syafiq lagi, selain menu utama asam pedas, pelanggan juga berpeluang merasai menu Masak Lemak Lobster yang merupakan antara menu tarikan pengunjung.

Restoran yang berkonsepkan suasana kampung dengan dekorasi berwarna putih termasuk tempat duduk serta meja menggunakan kayu palet itu memberi suasana santai.

Pada masa sama, kedai yang beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam itu turut menyediakan pelbagai menu sampingan, termasuk menu yang digemari pelanggan iaitu hidangan laut secara ‘shell out’ pada harga berpatutan.

Arham memberitahu, hidangan makanan laut seperti pepahat, lala, kerang, sotong, udang dan ketam segar pula disediakan dalam tiga saiz iaitu S, M dan L pada harga bermula RM59.90.

Menurutnya, selain menjadikan udang kara sebagai menu utama, dia juga menyediakan menu lain antara hidangan masakan Melayu, sate, bubur dan aiskrim durian.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat tempahan di laman sosial Facebook Asam Pedas Lagenda atau hubungi mereka di talian 06-2888844. - UTUSAN ONLINE