Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang kali pertama dianjurkan sempena Ramadan disertai enam buah koperasi yang bernaung dalam Angkasa manakala tiga institusi kewangan iaitu Bank Rakyat, CoopBank Persatuan dan Bank Muamalat terlibat menaja bubur lambuk.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ini merupakan program pertama Angkasa di peringkat pusat dan negeri dan pihaknya berterima kasih dengan penyertaan enam koperasi di negeri ini iaitu Koperasi Keluarga Fatimah Ahmad; Koperasi Keluarga Rahayu Isnin, Koperasi Keluarga Salimah Suboh; Koperasi Sinkhoh Mas (M) Berhad dan Koperasi Gabungan Kariah Masjid.

“Program turun padang seperti ini dibuat sebagai langkah memperkenalkan Angkasa kepada masyarakat di setiap negeri dan sekiranya golongan sasar ini bukan ahli koperasi seperti sekolah tahfiz ini, kita bantu mereka sebagai komuniti.

“Sejak enam tahun program CSR seperti ini diwujudkan, Angkasa menyumbang sejumlah RM300,000 setiap tahun bagi membantu menjayakan program-program kemasyarakatan dan kerohanian seperti Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program itu di madrasah berkenaan pagi ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan Angkasa negeri, Muslim Md. Shah dan Pengetua Madrasah Ar-Rabbanniyah, Fuad Ebnu Ali Mohd. Ali. - UTUSAN ONLINE