Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hassan Abdul Rahman berkata, bidang itu juga membolehkan para nelayan terlibat memperolehi pendapatan sampingan dan menjadi salah satu punca rezeki selain menangkap ikan di laut.

Menurutnya, antara usaha yang boleh dilakukan menerusi kewujudan industri agropelancongan itu adalah menaik taraf jeti pengkalan nelayan dengan membina calet, kafe atau restoran makanan laut di samping menyediakan pakej aktviti berkaitan agropelancongan.

“Sekiranya perkara ini diambil peluang oleh mereka, kita percaya ia boleh menjadi satu aset yang benar-benar memberi manfaat kepada nelayan selain penduduk dan pengusaha aktiviti pelanco­ngan.

“Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah mereka boleh menguruskan aktiviti seperti memancing ikan, menaiki bot, menikmati pemandangan hutan bakau atau laut, me-lawat kawasan perusahaan kupang dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan bantuan ‘Touch Point' kepada penternak dan nelayan di Pejabat Perikanan negeri di Batu Berendam di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Melaka, Johari Tim.

Hasan berkata, pembangunan agropelancongan di jeti nelayan itu juga boleh dilakukan secara kerjasama dengan pihak berkaitan teknologi hijau dalam membangunkan kawasan tersebut.

Katanya, ia termasuk langkah penjimatan tenaga, mengunakan tenaga solar dan sebagainya dalam usaha menerapkan inovasi di pengkalan jeti nelayan.