Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu, Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 telah memastikan segala hasil makanan negara terjamin sama ada dalam bentuk keselamatan (food security) atau mampu memenuhi keperluan penduduk untuk membelinya.

Kata beliau, kerajaan juga menyasarkan untuk meningkatkan tahap pengeluaran padi daripada lima hingga enam tan setiap hektar kepada 10 tan sehektar menjelang tempoh tersebut.

“Bekalan makanan asas negara ketika ini dilihat mencukupi iaitu beras kita menghasilkan lebih 70 peratus dan import beras kita daripada 30 peratus turun kepada 28 peratus.

“Kerajaan juga berhasrat menambah pengeluaran beras negara kepada 80 peratus dengan pembukaan jelapang padi baharu, pengenalan benih-benih padi baharu serta sistem pengairan yang lebih sistematik,” katanya selepas merasmikan program Jalinan Peladang Peringkat Ne­geri Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Yaakub, Merlimau dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Ramli Norani dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Melaka, Datuk Abu Pit.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, selain pengeluaran beras yang mencukupi, keluaran produk agro lain seperti ikan, ayam, sa­yur-sayuran dan buah-buahan juga mencukupi untuk keperluan negara kecuali pengeluaran da­ging lembu, kerbau dan kambing yang hanya dihasilkan sebanyak 20 peratus di dalam negara.

Bagi mengatasi masalah tersebut katanya, kerajaan sedang mengatur langkah bagi mengga­lakkan program ternakan lembu dan kambing dalam negara bagi meningkatkan pengeluaran.

Selain itu kata beliau, keluaran susu segar lembu dan kambing juga masih belum mencukupi dan kerajaan menerusi kementeriannya memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan hasil keluaran tenusu serta menyediakan peruntukan khas bagi membantu industri tenusu di negara ini.

Sementara itu, Tajuddin memberitahu, pihaknya akan menyia­sat dakwaan yang dibuat oleh petani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kelantan bahawa syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) bertindak memotong 50 peratus daripada padi yang dijual mereka.

Beliau menegaskan, kemente­riannya tidak akan sesekali membiarkan mana-mana agensi padi sama ada milik kerajaan atau swasta untuk mengambil kesem­patan mengenakan potongan tinggi sehingga menindas para petani.

“Kita akan siasat dakwaan itu dan saya juga yakin tidak semua petani di Kelantan dikenakan potongan sebanyak sedemikian ke­rana setiap negeri berbeza kaedah pemotongan hasil padinya kerana ia mengikut mutu padi serta kua­liti beras yang dihasilkan,” jelas beliau.