Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Isnin Aman berkata, menerusi usaha itu pihaknya berhasrat membawa lebih ramai pelancong untuk melihat sendiri suasana ladang ternakan haiwan seperti lembu, kambing dan ayam serta projek-projek tanaman kontang yang diusahakan di ladang kelapa sawit di sini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memperkenalkan ladang Lembah Kesang kepada pelancong selain menambah pendapatan penduduk sekitar jika kawasan itu dimajukan sebagai lokasi pelancongan.

“PPM bercadang membawa pelancong untuk masuk ke ladang ini untuk mengalami sendiri suasana kampung di mana kita biarkan lembu serta ayam ternakan bebas.

“Untuk itu kita memperuntukkan sejumlah RM200,000 bagi menyediakan kemudahan rumah kabin untuk penginapan pelancong dan jika tiada halangan, perkara ini akan direalisasikan menjelang Mei depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Sehari Bersama Pekebun Kecil di pejabat PPM di Lembah Kesang di sini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) Negeri Sembilan dan Melaka, Mohamad Jasni Satar dan lebih 40 pekebun kecil di sekitar Lembah Kesang dan Felcra Seri Mendapat.

Mengulas lanjut, Isnin berkata, PPM yang merupakan anak syarikat milik kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai program tanaman dan ternakan di kawasan itu termasuk lembu, ayam kampung, burung puyuh dan itik yang dimulakan sejak setahun lalu.

Menurutnya, projek ternakan lembu yang kini berjumlah 100 ekor akan ditingkatkan kepada 500 ekor, ayam kampung pula akan ditambah kepada 3,000 ekor berbanding 200 ekor sekarang dan ternakan burung puyuh sebanyak 1,000 ekor akan dikembangkan kepada 20,000 ekor.

“Selain menjana pendapatan syarikat, langkah PPM mengusahakan tanaman dan ternakan ini dapat menjimatkan kos pertanian di ladang sawit di mana kami boleh gunakan semula hasil buangan projek ternakan ini untuk dijadikan baja.

“Peningkatan hasil sawit di Ladang Lembah Kesang sebanyak 22,736 metrik tan berbanding 15,000 metrik tan sebelum ini juga membolehkan kita menjana pendapatan PPM apabila keuntungan syarikat iaitu kira-kira RM9 juta setahun melonjak kepada RM13 juta tahun lalu.