IDRIS HARON

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, selain itu beliau turut mengarahkan agar Jabatan Pendidikan negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Sektor Pendidikan Islam (SPI) di JPN mencari satu mekanisme untuk mengawasi perjalanan sekolah tahfiz supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini serta di luar pe­ngetahuan kerajaan negeri.

Katanya, kejadian yang me­nimpa Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi di negeri jiran baru-baru ini wajar diberikan perhatian oleh pihak pendidik di Melaka untuk me­ngawal selia perjalanan sekolah itu kerana tidak dinafikan sekolah tahfiz ba­nyak melahirkan hafiz yang terulung.

“Saya telah mengarahkan semua ADUN supaya mendapatkan khidmat JPN, PPD dan SPI untuk membuat pemantauan terperinci terhadap semua sekolah tahfiz di negeri ini bagi memastikan sistem tadbir urus dan pengurusannya mengikut ketetapan undang-undang.

“Arahan ini melibatkan semua sekolah tahfiz di seluruh Melaka sama ada di bawah pe­ngurusan kerajaan negeri, swasta yang berdaftar atau tidak berdaftar,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan me­syuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini .

Menurut Idris, dianggarkan terdapat kira-kira 28 buah sekolah tahfiz yang berdaftar di negeri ini manakala sejumlah 10 lagi tahfiz tidak berdaftar kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau turut meminta agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Polis Diraja Malaysia untuk membuat pemantauan secara tidak berjadual di semua sekolah tahfiz untuk mengesan sebarang insiden atau kejadian yang tidak sepatutnya berlaku.