Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, pembinaan sebanyak 60 unit rumah berkembar dan mempunyai kemudahan tiga bilik itu dimulakan sejak tahun 2014 lalu dan sepatutnya siap lebih awal.

Bagaimanapun kata beliau di-sebabkan beberapa masalah yang timbul, kerajaan negeri terpaksa melantik kontraktor baharu untuk menyiapkan projek perumahan itu yang kini 65 peratus di-siapkan.

“Kerajaan negeri berharap apabila rumah untuk nelayan ini siap sepenuhnya, ia akan diberikan kepada mereka yang betul-betul layak iaitu nelayan yang memerlukan rumah atau tidak mempu­nyai rumah sebelum ini.

“Kita faham untuk nelayan mendapatkan pinjaman bank bagi membayar ansuran rumah itu yang dijangkakan bernilai RM35,000 seunit mungkin agak sukar, untuk itu saya mencadang­kan supaya sebahagian daripada elaun sara hidup mereka dipotong untuk membayar ansuran perumahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan elaun sara hidup berjumlah RM300 seorang kepada 183 nelayan kawasan Melaka Barat di Dewan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Barat di Kuala Sungai Baru dekat sini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Rosli Mustapa; Pengerusi PNK Melaka Barat, Samsudin Abu Bakar dan Pengurus PNK Melaka Barat, Sukri Abadi Yusoff.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Ne-geri (ADUN) kawasan Kuala Linggi berkata, pihaknya berharap saringan penerima rumah projek pertama untuk nelayan di negeri ini dilakukan secara telus dan adil.

“Ini merupakan projek pertama di Melaka dan mendapat sambutan yang menggalakkan” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, agensi seperti LKIM diminta melihat semula kaedah pembinaan jeti nelayan di muara Kuala Sungai Baru.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang banyak untuk kos mengorek muara iaitu antara RM300,000 setiap kali kerja-kerja tersebut dilakukan bagi memastikan tidak berlaku hakisan.

Tambah Ismail, untuk itu pi­haknya merancang untuk me-laksanakan sistem penampan air bagi mengurangkan kos tersebut.

Beliau memberitahu, jeti di Kuala Sungai Baru dan kawasan berhampiran seperti Teluk Gong dan Tanjung Dahan sering menjadi tumpuan pembeli ikan khususnya dari luar Melaka dan untuk itu usaha membina jeti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan perlu dibuat bagi menarik minat orang ramai.