Mereka adalah Muhammad Seren, 10; Muhammad Shah, 8 yang kini ditempatkan di Rumah Budak Lelaki Durian Daun di sini dan Sarina, 7, yang diletakkan di Rumah Tunas Harapan Semarak Kasih di Jasin manakala Norsarah Ayu, 4 kini di bawah penjagaan ibu saudaranya.

Baru-baru ini, kehidupan empat beradik yang tinggal bersama bapanya Ismail Omar, 61, di sebuah bengkel di Bukit Rambai di sini sejak lima tahun lalu mendapat perhatian masyarakat.

Ismail ketika ditemui berkata, kehidupan anak-anaknya mula terabai sejak lebih sebulan lalu apabila isterinya melarikan diri dari rumah selepas berlaku perselisihan faham dengannya.

Ismail yang bekerja sebagai mekanik berkata, keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan anak-anaknya bersendirian di rumah ketika dia keluar bekerja.

“Saya bimbang terhadap ke­selamatan mereka di rumah tapi saya tetap kena keluar bekerja untuk mencari rezeki.

“Bahkan ada masanya anak yang dah bersekolah terpaksa ponteng untuk menjaga adik yang bongsu,” katanya yang mendirikan rumahtangga dengan wanita berusia 29 tahun itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar ketika dihubungi memberitahu, pengambil alihan penjagaan ka­nak-kanak berkenaan daripada bapanya dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang yang dibenarkan selepas mengambil kira kedaifan keluarga berkenaan.

“Kesemua mereka telah diambil daripada bapa mereka untuk pengawasan sementara. Siasatan terperinci di buat di bawah Seksyen 17(1D), Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

“JKM juga akan menentukan siapakah waris paling sesuai mendapat hak jagaan,” katanya.

Latipah memberitahu, tindakan JKM itu diharap dapat membela nasib dan kebajikan kanak-kanak berkenaan.

“Kesemua mereka juga telah melalui pemeriksaan kesihatan dan tiada tanda-tanda menunjukkan mereka didera,” ujar beliau.