Program tersebut bertema ‘Wanita dan Diabetes - Hak Kita Menuju Ke Kesihatan Yang Baik’ (Women and Diabetes - Our Right to a Healthy Future) itu bermula pada pukul 8 pagi sehingga pukul 12 tengah hari.

Ketua Pemasaran Hospital Pantai Ayer Keroh, Yee Vonne Pang berkata, menggunakan tema tersebut, pihaknya bukan sahaja mempromosikan kesedaran terhadap kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan, tetapi juga bagi mengesan tahap dua pe­nyakit diabetes di peringkat awal.

“Wanita berisiko hidup tanpa menyedari mereka mungkin mengalami diabetes dan sekiranya dikesan di peringkat awal, mereka akan dibantu dari segi nasihat serta cara-cara terbaik bagi mengubati penyakit itu,” katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan dalam program tersebut terma­suk pemeriksaan kesihatan, bersenam selain berjalan sejauh empat kilometer bermula dari Hospital Ayer Keroh di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ayer Keroh, Tan Yew Aik dan Pakar Nefrologi hospital tersebut, Dr. Chow Yok Wai.

Sementara itu, Ye Aik membe­ritahu, pihaknya akan memberi sokongan terhadap program-program kesedaran bersempena de­ngan Hari Diabetes Sedunia.

“Kami akan meneruskan lagi program seumpama ini pada tahun-tahun seterusnya kerana diabetes merupakan satu penyakit yang amat merbahaya serta boleh menyebabkan pesakit mengalami pelbagai komplikasi kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Hospital Pantai Ayer Keroh juga bakal mengadakan satu lagi program di hospital itu pada 18 November ini dari pukul 11 pagi hingga pukul 3 petang dengan dua sesi ceramah berhubung kesihatan.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi pihak hospital itu di talian 06-232 1782 atau layari laman sesawang www.pantai.com.my serta tempat hanya terhad kepada 90 orang sahaja.