Majlis hari raya yang diadakan setiap tahun itu bertujuan menghubungkan silaturahim antara kakitangan bank dan pelanggan selain meraikan bersama Aidilfitri dalam suasana meriah.

Menurut Pengurus CO-OPBank Persatuan cawangan Melaka, Saharudin Md. Khalid, pada majlis itu pihaknya turut meraikan sambutan ulang tahun penubuhan bank berkenaan yang ke-68 dengan mengadakan acara memotong kek dan disertai barisan pegawai kanan bank itu yang datang dari ibu pejabat di Kuala Lumpur.

“Program seperti ini dianjurkan setiap tahun bukan sahaja melibatkan kakitangan bank, malah pelanggan di seluruh Melaka dijemput sambil berkenalan dan ini merupakan salah satu usaha kami menghargai mereka yang terlibat dengan bank ini,” katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif bank berkenaan, Mohd. Nor Abd. Razak; Ketua Pembiayaan Runcit, Nasir Marob; Ketua Sumber Manusia, Nasaruddin Nasir, Ketua Syer Keanggotaan, Abdullah Mohamad dan Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Hartanah, Zulkifli Aziz.

Selain itu, turut hadir ialah Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi bank itu, Kamari Zaman Juhari serta tiga Anggota Lembaga Koperasi iaitu Datuk Yusra Sabar, Datuk Mangsor Saad dan Mohd. Shapie Idris. - UTUSAN ONLINE