Kementerian Pertahanan Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini berkata, upacara rasmi penyerahan 28 rangka anggota tentera New Zealand (Op Te Auraki) itu melibatkan penyerahan daripada kerajaan Malaysia kepada kerajaan New Zealand.

Semalam, berlangsung upacara penghormatan terakhir bersempena penghantaran 16 rangka anggota tentera New Zealand ke Kem Wardieburn, Kuala Lumpur oleh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Kem Terendak, Melaka.

Turut hadir memberikan penghormatan ialah Panglima 10 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Komander Artileri 3 Divisyen, Brigedier Jeneral Ahmad Abu Bakar dan wakil New Zealand Group Captain Carl Nixon.

Kenyataan itu menyebut upacara penghormatan itu diadakan sebagai simbolik penghormatan daripada pihak ATM kepada anggota tentera New Zealand yang dikebumikan di Commonwealth War Grave (CWG) Terendak, Melaka mulai tahun 1964 sehingga tahun 1969.

Kerja-kerja ekskavasi, analisis forensik, 'reconciliation process' dan 'identification board' di Terendak diketuai Mejar Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron melibatkan 112 petugas daripada ATM, 110 petugas daripada agensi kerajaan serta universiti tempatan bersama 29 petugas dari New Zealand.

Katanya, 12 rangka lagi terdiri daripada empat rangka tentera dan satu rangka anggota keluarga tentera New Zealand di CWG cawangan Cheras, Kuala Lumpur, dan tujuh rangka dari CWG cawangan Kamunting, Taiping, Perak masih dalam proses ekskavasi.

Beliau berkata, upacara itu menandakan selesainya proses ekskavasi rangka anggota tentera New Zealand di Melaka yang dijalankan dari 3 Julai sehingga 26 Julai 2018.

Kesemua 28 keranda itu akan ditempatkan sementara di Dewan Wardieburn, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada Kerajaan New Zealand pada 20 Ogos. BERNAMA