Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha yang dilaksanakan sejak penggal pemerintahan yang lalu itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengimbangi pembangunan fizikal dengan pembangunan rohani di negeri ini.

“Sasaran kerajaan adalah untuk membina 40 buah masjid baharu di negeri dan sehingga kini Melaka mempunyai 210 buah masjid iaitu 84 buah di Melaka Tengah, 74 buah di Alor Gajah dan 52 buah di Jasin,” ujarnya ketika berucap dalam majlis Perasmian Masjid Tun Khalil Asahan, dekat sini, baru-baru ini.

Perasmian masjid itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob sebelum mengerjakan solat Jumaat bersama barisan pemimpin negeri dan para jemaah.

Sementara itu Idris memberitahu, kerajaan negeri mengekalkan jawatankuasa masjid di negeri ini yang berakhir pada Disember tahun lalu sehingga 31 Mei ini.

Katanya, arahan tersebut turut berkuatkuasa bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negeri.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan persefahaman dan nilai-nilai perpaduan dapat dikekalkan di antara Pengerusi JKKK, jawatankuasa masjid dan wakil rakyat sehingga keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 keluar nanti.

“Berikanlah kepercayaan kepada mereka untuk mentadbir dan menguruskan masjid yang seperti mana yang diamanahkan kepada mereka demi kebaikan bersama” katanya.