Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN), Leftenan Kolonel Effendy Ali berkata, banjir kilat berkenaan disebabkan hujan lebat yang turun di negeri ini sejak pukul 4 pagi tadi.

Katanya, berikutan hujan lebat lebih lima jam itu, paras air sungai berhampiran melimpah ke kawasan kampung berkenaan.

“Hujan lebat berterusan turun sejak pukul 4 pagi tadi di kawasan berkenaan, bagaimanapun sehingga 5 petang ini tiada pusat pemindahan dibuka dan keadaan terkawal selepas hujan reda.

“Bagi memastikan penduduk berada dalam keadaan selamat kita sudah menempatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan terjejas dan memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurut Effendy, paras air di beberapa kawasan kampung tersebut mencecah 0.6 meter dan penduduk hanya akan diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sekiranya paras air berada pada tahap membimbangkan.

Seorang penduduk, Jariah Hitam, 78, memberitahu, dia terjaga daripada tidur kira-kira pukul 6 pagi dan menyedari air telah memenuhi bahagian hadapan rumahnya sehingga paras betis.

“Mujur ada anak menantu tinggal bersama dan kami sama-sama selamatkan perkakas rumah, letak dekat tempat tinggi,” katanya ketika ditemui dirumahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad turut berkesempatan melawat kawasan banjir di kampung tersebut. - UTUSAN ONLINE