Program `Syn-Hybrid Gas Coastal Fishing Boat Generator 40HP’ itu adalah satu produk inovasi terbaharu yang dihasilkan oleh TPM di bawah program Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu MOSTI Social Innovation (MSI).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ketika melancarkan program tersebut berkata, 10 unit bot tersebut diserahkan kepada penerima yang dipilih oleh jawatankuasa dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Tangga Batu.

“Kerajaan berharap penggunaan bot moden ini akan memberi kemudahan kepada penerima untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan mereka sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi keluarga nelayan terlibat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Kua Abun; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Ir. Mohd. Azman Shahidin dan Pengerusi Komuniti Keluarga Nelayan Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin.

Bot menggunakan sistem hibrid enjin 40 kuasa kuda ini merupakan inovasi pertama dilakukan oleh anak syarikat TPM, TPM Engineering Sdn. Bhd. dan Amiran Technology Sdn. Bhd. mampu menjimatkan penggunaan petrol sebanyak 45 peratus dan bernilai kira-kira RM30,000 seunit termasuk enjin. - UTUSAN ONLINE