Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, negeri ini berpotensi menjadi lokasi penggambaran yang baik dengan adanya pelbagai tempat tumpuan pelancong serta kesan peninggalan sejarah dunia.

Menurutnya, Malaysia tidak ketinggalan dengan kesan perkembangan bidang perfileman yang semakin diminati masa kini malah beliau berbangga kerana ramai pembikin filem berbakat telah dilahirkan di negara ini.

“Sehubungan itu, kerajaan nege­ri sentiasa mengalu-alukan pembikin filem untuk menerbitkan filem mereka di negeri ini yang dilihat mampu melonjakkan industri pelancongan serta menggalakkan kedatangan pelancong ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian Pameran Multimedia Life Of The Silver Screen The Fascinating Story Of Indian Cinema di Balai Seni Lukis Melaka, Jalan Laksamana, di sini semalam.

Yang hadir sama Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, T.S. Tirumurti; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Pembangunan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas.

Pameran berkaitan sejarah perfileman dunia bermula di India itu dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula semalam hingga 20 Jun depan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dengan kadar bayaran masuk sebanyak RM2 (dewasa) dan RM1 (kanak-kanak).

Jelas Idris, para pembikin dan peminat filem boleh mengetahui bagaimana bermulanya sejarah perfileman lebih 100 tahun dahulu di India yang kini menjadi salah satu negara terkenal dalam industri perfileman dunia.

“Pameran ini juga bakal mempamerkan sejarah bagaimana bidang perfileman di India berkembang maju dengan hingga menjadikan mereka begitu berpengaruh serta mampu melahirkan ramai komuniti kreatif, teknologi baharu serta minat pelabur melalui filem,” ujarnya.

Tambahnya, beliau berbangga dengan usaha yang dilakukan kerajaan India membawa pelbagai jenis tarian, pameran, filem dan muzik ke negeri ini buat pertama kali sebagai panduan serta tatapan terutamanya bagi generasi muda untuk mengenali sejarah perfileman dunia.

Sementara itu Tirumurti memberitahu, pihak kerajaan India gembira dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menganjurkan pameran tersebut di Melaka.

“Kami berharap orang ramai dapat meluangkan masa untuk datang menyaksikan sendiri pameran mengenai sejarah perfileman India seterusnya membantu menjayakan program berkenaan,” katanya.