Pengerusi Melaka Alive, Mohd. Nizar Mohd. Najib berkata, produk pelancongan baharu yang amat unik serta berbeza dengan memperkenalkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka menggunakan konsep persembahan berteknologi.

Menurutnya, Melaka Alive yang dijayakan Neuvo Attraction and Destination Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) itu merupakan gabungan unsur teater dan sejarah mengunakan kesan khas termasuk api, angin, meriam air, percikan air dan muzik berirama.

“Sejarah Melaka akan dipersembahkan dengan cara baharu melalui pengenalan Bantera Merdeka yang merupakan fasa pertama tarikan Melaka Alive di kawasan pelancongan negeri ini.

“Fasa kedua dan seterusnya pula merangkumi beberapa lokasi lain dengan tarikan berbeza termasuk The Sultan's Palace, Muzium Rakyat dan bazaar Taste of Melaka,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Lawatan dan Pelancaran Logo Melaka Alive yang disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Bahtera Merdeka, Banda Hilir, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), Datuk Abdul Rahim Hassan.

Pada majlis sama, satu perjanjian persehaman (MoU) turut ditandatangani antara Neuvo Attraction and Destination dengan DDEC masing-masing diwakili Mohd. Nizar dan Abdul Rahim.

Jelas Mohd. Nizar, pihaknya turut meletakkan sasaran sebanyak 20,000 pengunjung menyaksikan Melaka Alive pada bulan pertama pelancarannya tahun hadapan.

“Justeru, sokongan setiap agensi pelancongan di seluruh negara khususnya kerajaan negeri diharap dapat membantu meningkatkan lagi jumlah pengunjung untuk mengetahui sejarah Melaka dalam konsep sangat menarik dan berbeza ini,” ujarnya.

Sementara itu, tambahnya, MoU tersebut bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dengan DDEC untuk menghantar para pelatihnya menjalankan latihan di Melaka Alive bagi penyediaan perkhidmatan pelancongan.

''Selain itu, dalam fasa ketiga Melaka Alive, kita turut merancang untuk menubuhkan sebuah kolej seni reka untuk melatih bakat bagi diserapkan dalam industri pelancongan di negeri ini,”katanya.