Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu memainkan peranan aktif dalam merangsang minat, menyediakan platform dan membantu usahawan bidang pertanian dalam kalangan belia Felcra menjana pendapatan melalui bidang pertanian.

Wartawan Utusan Malaysia, AZMA KHAIRUL AZHAR menemu bual Presiden Mbfem, MOHD. NAZRI ROSLI untuk mendapatkan gambaran dan berkongsi peranan Mbfem dalam pembangunan belia tani di negeri tersebut.


UTUSAN MALAYSIA: Boleh ceritakan latar belakang Mbfem?

MOHD. NAZRI: Mbfem didaftarkan pada tahun 2011 dan berperanan sebagai organisasi yang menguruskan belia di kawasan Felcra atau lebih tepat lagi ge­nerasi kedua Felcra.

Salah satu peranan adalah membantu melahirkan usahawan bidang pertanian dalam kalangan belia tersebut. Selain memberi khid­mat nasihat, Mbfem turut fokus kepada kursus dan memantau aktiviti usahawan Felcra .

Mbfem diwujudkan daripada gabungan Majlis Belia Felcra Wilayah atau negeri-negeri. Mbfem wujud di semua negeri kecuali di Perak dan Sabah masih dalam proses pendaftaran. Setakat ini keahlian mencapai seramai 3,900 orang.

Bagaimana sambutan dan cabaran menarik minat golongan belia dalam pertanian?

Sambutan belia di Felcra ter­hadap pertanian amat me­nga­lakkan. Pihak Felcra dengan ker­jasama Mbfem telah memperbanyakkan lagi kursus dan latihan pertanian terutamanya bagi tanaman cili fertigasi.

Cabarannya adalah ketiadaan tanah dan per­sepsi bahawa pertanian dikatakan kerja tidak gla-mour, susah dan membosankan.

Apakah program dan usaha yang dilaksanakan dalam sektor pertanian?

Kami telah mencetuskan idea bagi beberapa projek pertanian kerana ruang tanah yang banyak terutama di kawasan luar bandar. Seperti contoh di Negeri Sembilan, terdapat 13 peserta dalam projek cili fertigasi yang me­ngusahakan 13,000 pokok iaitu di Kampung Bayai Baru (8,000 pokok), Felcra Ayer Hitam (2,000) dan Felcra Rompin (3,000). Projek ini telah mengeluarkan hasil bagi pusingan pertama yang dianggarkan sebanyak RM240,000.

Selain itu juga ada yang menternak udang kara air tawar, le-bah kelulut, lembu, kambing dan ayam kampung. Tidak terkecuali mengusahakan sambal dan sos cili.

Ini merupakan petanda baik kerana terbukti anak muda di kawasan Felcra mempunyai keinginan untuk meningkatkan pendapatan dan taraf ekonomi mereka.

Apakah bentuk bantuan dan insentif yang diberikan?

Terdapat bantuan dalam bentuk pinjaman dan geran disediakan Felcra bagi mereka yang layak.

Hasil hubungan yang baik de­ngan pihak pengurusan Felcra, agensi itu juga bersetuju supaya program pertanian dipertingkatkan di bawah Mbfem. Malah pinjaman juga tidak dikenakan faedah seperti pinjaman dengan bank atau agensi kewangan lain.

Contohnya, seperti pinjaman ekonomi peserta Felcra sebanyak RM20,000 seorang dan bayaran balik sebanyak RM15,000. Baki RM5,000 diberi sebagai geran.

Apakah antara kejayaan dicapai oleh belia yang mendapat bantuan Mbfem?

Alhamdulillah, ramai peserta menunjukkan pencapaian membanggakan. Ada yang berjaya dalam program anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah seperti CEO Desa dan Rural Business Challenge. Mereka menerima hadiah berbentuk geran untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Apakah usaha bagi mengembangkan lagi potensi belia Felcra?

Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan menambah kawasan pertanian bagi memastikan bekalan tidak terputus. Selain itu, perlunya membina rangkaian dan memperkemaskan kerjasama antara semua wilayah Felcra dan menjaga kualiti hasil pertanian.

Saya juga berpendapat perlu ditubuhkan satu badan pe­ngumpulan hasil pertanian serta menjalinkan hubungan dengan syarikat atau agensi yang boleh membawa hasil pertanian bagi tujuan eksport ke luar negara.

Apakah visi dan harapan Mbfem pada masa akan datang?

Mbfem mahu terus berperanan dalam membantu belia Felcra berjaya dalam bidang pertanian, lebih-lebih lagi Felcra telah dilantik oleh kerajaan sebagai agensi bagi program Gedung Makanan Negara.

Harapan saya agar usahawan Felcra akan terus berdaya saing dan menjadi tunjang dalam industri pertanian bagi makanan negara.

Bagi merancakkan lagi sektor pertanian belia Felcra ini, Koperasi Generasi Kedua Felcra Malaysia Berhad telah ditubuhkan bagi melaksanakan projek pertanian berskala besar.

Sebagai Pengerusi koperasi, saya mahu melihat ahli dapat dibantu sama ada melalui pinjaman koperasi untuk permulaan projek atau koperasi sebagai ejen pemasaran.