Rutin hariannya adalah berkebun dan wanita itu juga sangat menggemari masakan ikan singgang, ulam-ulaman serta budu.

Susuk tubuh berusia 75 tahun itu cukup peramah dengan loghat Kelantan yang pekat namun sa­ngat lembut tutur katanya apabila berbual dengan sesiapa sahaja.

Mendengar nama panggilan, rutin dan cara kehidupan warga emas itu, pasti ramai beranggapan Mek Bunga adalah wanita berketurunan Melayu.

Namun hakikatnya, Mek Bunga atau nama sebenarnya, Loo Bee Wai dari Kampung Pasir Parit di sini adalah seorang Peranakan Cina Kelantan yang kehidupannya boleh dikatakan mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu.

Begitu juga penduduk lain di kampung itu yang rata-ratanya mempunyai jiwa serta kehidupan sama seperti Mek Bunga dan situa­si tersebut dilihat kekal sehingga ke generasi hari ini.

Mek Bunga berkata, kehidupan, penampilan serta buda­yanya boleh dikatakan 100 peratus menyamai cara hidup orang Melayu.

Katanya, golongan Peranakan Cina di sini mempunyai nama gelaran Melayu masing-masing termasuk dirinya yang lebih dikenali dengan panggilan Mek Bunga dalam kalangan penduduk.

“Saya sudah biasa bergaul dengan masyarakat Melayu sejak daripada zaman kanak-kanak lagi. Faktor tersebut menyebabkan kehidupan saya sama dengan masyarakat tersebut.

“Malah, mereka yang baharu mengenali saya sering menyangka saya adalah wanita Melayu,” katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

Tambahnya, budaya dan kehidupan Peranakan Cina juga diikuti oleh anak-anaknya meskipun kebanyakkan mereka tinggal di luar.

Katanya, meskipun zaman sudah berubah dan semakin mo­den namun anak-anaknya tetap mengamalkan cara hidup Cina kampung termasuk mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu.

“Malah salah seorang anak saya pandai membuat budu iaitu salah satu resepi tradisi masyarakat Melayu di Kelantan,” katanya.