Datuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin berkata, sebahagian daripada peserta FLLSPG 22 termasuk 100 peserta antarabangsa menyertai acara tersebut yang julung kalinya diadakan selama dua hari.

Beliau yang juga Presiden Maj­lis Pelayang Malaysia berkata, penganjuran festival itu di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan tempat menarik selain memperlihatkan pembangunan Johor Bahru kepada peserta antarabangsa.

“Jika mengikut jadual asal, giliran Melaka menganjurkan festival layang-layang selepas FLLSPG 22, namun terdapat kekangan dan kita membawa sebahagian pelayang ini ke bandar raya Johor Bahru.

“Festival Layang-Layang Ma­lam Bandaraya Johor Bahru ini bukan sahaja diadakan, di sini malah dibuat di tempat lain dan selepas ini saya mengundang mereka untuk menerbangkan layang-layang pada waktu malam di kawasan lapang bersebelahan Ang­sana Mall,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan dan pe­nyampai­an hadiah FLLSPG 22 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan Yang Dipertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim.

A. Rahim yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Ke­penggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong menyempurnakan majlis tersebut turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Kedah yang mencipta kemenangan hatrik pada FLLSPG edisi kali ini.

Beliau berkata, keistimewaan penganjuran festival layang-la­yang berkenaan kerana bersifat sejagat melibatkan peserta dari 40 negara dari pelbagai peringkat umur untuk mempamerkan kreativiti dan kepelbagaian reka bentuk layang-layang.

“Menerusi penganjuran festival layang-layang ini dapat memelihara keagungan warisan negara de­ngan memperkenalkan permainan tradisional kepada masyarakat dunia. Malah, festival ini dapat melahirkan kesinambungan warisan dengan penglibatan generasi muda saban tahun,” katanya.