Osman Sapian

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, keputusan itu adalah sebagaimana diperuntukan dalam Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang menyatakan balai raya, dewan raya, kawasan lapang, ta­nah perkuburan dan kawasan lain untuk kegunaan awam diwartakan dalam Seksyen 62 KTN.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dan Pejabat Daerah telah menegaskan supaya premis kerajaan tidak disalahgunakan bagi tujuan politik seperti yang telah lama dipraktikkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan manfaat kebenaran kerajaan ini bagi tujuan politik. Kalau ada premis-premis yang masih digunakan untuk tujuan politik, kelulusan asal yang diberikan kepada NGO tersebut wajar ditarik balik,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung tindakan atau arahan baharu daripada kerajaan berkenaan bangunan atau pejabat sama ada kekal atau tidak kekal yang terletak di atas tanah kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masih dijadikan pejabat Barisan Nasional (BN), UMNO, MCA dan MIC.

Osman yang juga ADUN Kempas berkata, kerajaan negeri melalui Pentadbiran Tanah Johor akan membuat semakan terperinci sekiranya terdapat mana-mana aduan berhubung pembinaan bangunan kekal atau sementara di atas mana-mana tanah kerajaan negeri bagi tujuan dijadikan pejabat mana-mana parti politik.

“Sekiranya bangunan-bangunan tersebut dibina atas tanah kerajaan negeri atau tanah rizab tersebut tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa negeri, maka ia adalah suatu pencerobohan tanah kerajaan dan kesalahan di bawah peruntukkan Seksyen 425 KTN.

“Daripada segi penggunaan bangunan awam kerajaan bagi aktiviti berunsurkan politik, ia adalah terbuka untuk kegunaan semua pihak dan ini termasuk kepada Ahli Parlimen dan ADUN. Ia sejajar de­ngan hasrat kerajaan supaya setiap kemudahan yang telah disediakan dapat digunakan secara optima untuk faedah rakyat,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan sama ada kerajaan negeri tidak akan melayan parti politik untuk memiliki tanah sendiri, Osman berkata, kerajaan tidak menggalakkan mana-mana parti politik untuk memohon ta­nah milik kerajaan negeri.