Kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu berlaku apabila semua jemaah bersedia untuk menunaikan solat tarawih.

Seorang jemaah yang dikenali sebagai Latipah, 60, berkata, dia terkejut melihat saf lelaki berlari beramai-ramai keluar dari masjid dan dimaklumkan sebuah kereta jenis Mazda CX5 terbakar di bahagian depan.

"Saya bersyukur kejadian tersebut disedari jemaah dan api yang dipercayai dari nyalaan mancis oleh kanak-kanak itu berjaya dipadam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuantan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut pada pukul 9 malam.

"Api berjaya dikawal dari merebak ke kenderaan berhampiran. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya. - UTUSAN ONLINE