Jurucakap bomba berkata, mayat mangsa, Ampi Gani, 69, berasal dari Rumah Panjang (RH) Ulu Sungai Rimbas Baru ditemukan 3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada Isnin lalu.

Katanya, mayat tersebut dijumpai oleh pasukan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada tengah hari ini.

"Operasi mencari mangsa dilancarkan sejak mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya ketika mandi di sungai terletak di belakang rumah panjang mereka pada pukul 7.21 malam, Isnin lalu.

"Pada hari pertama pencarian, pasukan penyelamat telah menemukan tuala dan sabun mandi milik mangsa di hilir sungai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari lelaki warga emas berketurunan Iban itu disertai oleh bomba bersama polis termasuk Unit Anjing Pengesan dari Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE