Sebanyak 191 keluarga daripada 17 buah kampung kecil di situ menerima geran masing-masing yang diserahkan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.


Musa berkata, sebanyak 509 geran diserahkan hari ini membabitkan tanah komunal seluas 1,691 hektar keseluruhannya.


“Kehadiran saya bukan sahaja untuk meraikan Pesta Kaamatan tetapi turut membuktikan kerajaan mendengar setiap permintaan rakyat.


“Sebanyak 106 penerima masing-masing mendapat geran tanah berkeluasan empat hektar manakala 85 lagi berkeluasan 2.4 hektar,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod di Kampung Entilibon di sini.


Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Felcra, Datuk Bung Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.


Sempena majlis tersebut, Musa turut merasmikan pembukaan Dewan Masyarakat Entilibon yang siap dibina dan juga merupakan salah satu janji yang telah ditunaikan kerajaan.-UTUSAN ONLINE