Anggota bomba turut membantu membersihkan masjid.

Anggota bomba turut membantu membersihkan kawasan masjid yang tercemar.

Imam 3 Masjid Jamek Sungai Plong, Mohamed Rahmat Ahmad Buhari, 31 ketika dihubungi Utusan Online berkata, kerja-kerja menyamak dan membersihkan masjid bermula pada pukul 11 pagi tadi dan selesai pada pukul 1.30 tengah hari.

Menurut beliau kerja-kerja membersih dan menyamak dikawal selia dan mendapat nasihat dari wakil Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor yang turut hadir.

Mohamed Rahmat berkata, tiga perempat kawasan masjid telah dicemari oleh darah babi liar tersebut dan kerja pembersihan dimulakan dengan membersih kesan-kesan darah yang terpalit pada dinding dan lantai masjid.

"Babi ini telah cedera dan berdarah ketika masuk ke dalam kawasan masjid. Atas nasihat Jabatan Mufti Selangor dan JAIS kita buang karpet yang dicemari dengan darah babi berkenaan. Turut dibuang sebuah kipas dan dua buah kerusi yang rosak akibat disondol babi itu.

"Selesai membersihkan darah pada dinding dan lantai. Kita memulakan proses menyamak dengan membasuh mengunakan air tanah sekali dan enam kali air bersih," kata Mohamed Rahmat.

Jelas beliau, kawasan sekitar Masjid Jamek Sungai Plong mempunyai habitat babi hutan dan ini adalah kejadian pertama haiwan liar itu memasuki masjid.

"Babi tersebut cedera di luar kawasan masjid dan menjadi berang. Dia cuba mengejar kanak-kanak yang berada di luar masjid. Kanak-kanak tersebut yang ingin menyelamatkan diri lari masuk ke dalam masjid.

"Tindakan kanak-kanak tersebut adalah betul dan babi berkenaan mengejar mereka sehingga ke dalam masjid," kata Mohamed Rahmad.

Kerja-kerja pembersihan turut dibantu oleh sepasukan anggota bomba seramai 15 orang dan dua buah jentara bomba.

 

 

Penduduk menunaikan solat Isyak di kawasan yang tidak dicemari babi hutan.

Penduduk bersembahyang Isyak malam tadi di kawasan yang tidak dicemari

"Malam tadi kita solat Isyak berjemaah di kawasan yang tidak dicemari oleh babi hutan tersebut," jelas Mohamed Rahmad mengenai gambar jemaah bersembahyang di dalam masjid malam tadi.

Kejadian seekor babi hutan jantan tersesat masuk ke dalam masjid ketika jemaah sedang menunaikan solat ba’diyah Maghrib hingga mencederakan seorang jemaah itu tular di media sosial.

Sementara itu, Nazir Masjid Jamek Sungai Plong, Hussin Bin Rani berkata,  pihak masjid telah menempah karpet baru bernilai RM34,000 untuk pemasangan segera. Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan. -UTUSAN ONLINE