Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan rambang di beberapa pasar raya dan premis yang terdapat di seluruh negeri bagi mengesan peniaga yang mengenakan GST dan SST kepada pengguna.

“Di Kota Bharu kita tubuhkan 12 pasukan terdiri daripada 48 anggota dan sebanyak 15 notis telah dikeluarkan.

“Semua notis terbabit dikeluarkan kepada peniaga yang menjual barangan dengan margin keuntungan tinggi dan tidak munasabah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ab. Ghani berkata, pihaknya tidak menentukan harga barangan tetapi mengawal melalui margin keuntungan yang diperolehi dari sesuatu jualan barangan itu.

“Mereka mengenakan GST sebanyak enam peratus kepada pelanggan ditambah SST sebanyak 10 peratus, jadi mereka memperoleh keuntungan 16 peratus.

“Semua notis yang dikeluarkan harus dibalas oleh peniaga dalam tempoh tiga hari bekerja, sekiranya enggan mereka boleh diambil tindakan melalui Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Sementara itu dalam pemeriksaan PPDNKK, diketuai pegawai penguat kuasa kementerian itu, Mohd. Sakhri Mohd. Salleh di sebuah premis menjual peralatan elektrik di Tunjung di sini, sebanyak lima notis dikeluarkan.