Sinonim dengan Aidilfitri, mereka yang sememangnya anak jati Kuala Lumpur atau telah lama menetap di Lembah Klang telah menjalankan budaya ziarah sejak hari pertama lagi manakala golongan perantau mula berkunjung ke rumah rakan-rakan setelah pulang dari kampung.

Disebabkan tidak semua warga kota mempunyai kemampuan untuk membeli kediaman di atas tanah dan se­setengahnya memiliki atau sekadar menyewa unit perumahan strata, lif di apartment dan flat turut sesak.

Jadi apa masalahnya dengan lif sesak? Baik, cuba anda bayangkan berada dalam sebuah lif ke tingkat 10 bersama rakan dan orang lain di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Ketika mula bergerak, timbul bunyi-bunyi yang me­nimbulkan kerisauan sebelum lampunya terpadam dan pergerakan terhenti.

Memetik aktivis ma­syarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, trauma insiden sedemikian dapat dielakkan jika pemaju perumahan bertingkat dan premis sentiasa memastikan lif yang beroperasi sudah didaftarkan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta diperiksa setiap 15 bulan.

“Semua pihak terbabit per­lu mematuhi semua peraturan di bawah garis panduan Ke­selamatan Bagi Penggunaan Lif dan Eskalator yang dikeluar­kan oleh JKKP.

“Ia antara lain menetapkan tanggungjawab setiap pihak yang berkepentingan iaitu pihak berkuasa, pemilik lif, pengguna lif serta firma kompeten berdaftar yang dilantik untuk menyelenggara kemudahan tersebut,” katanya baru-baru ini.

Isu lif bukan sekadar melibatkan kes terperangkap se­perti pasangan suami isteri warga emas selama hampir 26 jam di dalam lif di sebuah pasar raya di Meru Raya, Ipoh, Perak, bahkan boleh meragut nyawa sebagaimana yang berlaku terhadap remaja 16 tahun di Pendang, Kedah.

Kerana itu penduduk PPR ramai membuat aduan me­ngenai lif di tempat tinggal mereka, contohnya mereka yang tinggal di Blok D, PPR Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur yang ke­rap me­ngalami masalah kerosakan.

Mereka yang menetap di 75,000 unit PPR, Perumahan Awam (PA) termasuk pangsapuri kos rendah dan sederhana yang dimiliki swasta sekitar ibu negara mungkin boleh menarik nafas lega kerana Kementerian Wilayah Per­sekutuan memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi membiayai baik pulih dan naik taraf kerosakan lif.

Peruntukan yang turut merangkumi baik pulih dan naik taraf rumah, tandas bocor dan pendawaian oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara berpe­ringkat itu turut membabitkan kerja-kerja cat semula ba­ngunan serta pendawaian.

Realitinya, masalah lif ti­dak akan selesai secara sepenuhnya namun ia dapat dikurangkan menerusi pematuhan garis panduan JKKP oleh pemaju.

Persatuan penduduk juga perlu memainkan peranan bagi mencegah perbuatan van­dalisme terhadap kemudahan ini agar ia sentiasa berfungsi dengan baik.