AIDILFITRI akan tiba tidak lama lagi.
Pastinya semua sibuk membuat pelbagai persiapan untuk menyambut 1 Syawal bersama-sama insan tersayang, khususnya di kampung halaman masing-masing.
Ada yang sibuk menyediakan kuih-muih atau baju raya baharu untuk ahli keluarga dan berkemas rumah supaya kelihatan bersih dan cantik menerima kunjungan saudara mara dan sahabat handai.
Secara tradisinya, kehadiran Syawal sentiasa disambut meriah selepas sebulan berpuasa oleh umat Islam.
Namun, dengan ledakan pesat teknologi maklumat dan komunikasi masa kini, senario sambutan mungkin sedikit berbeza.
Walaupun amalan kunjung-mengunjungi tetap subur dalan masyarakat, namun penangan telefon pintar berjaya mencetuskan ‘senario’ baharu yang dilihat kurang molek sehingga ada yang berpendapat mengugat kemeriahan sambutan berkenaan.
Jika diamati, ada benarnya dakwaan itu kerana bukan segelintir, tetapi ramai yang lebih gemar bersosial dalam alam maya berbanding berinteraksi dengan sanak saudara yang berkunjung ke rumah.
Ada yang lebih suka ‘bersembunyi’ di dalam bilik atau menyendiri di sudut rumah serta leka menatap telefon bimbit masing-masing sambil tersenyum ataupun ketawa.
Inilah ‘kegilaan’ baharu masyarakat kita!
Malah, golongan kanak-kanak turut tidak terkecuali kerana tidak mahu berenggang dengan telefom pintar yang diberikan ibu bapa masing-masing, sedangkan senario ini tidak berlaku belasan tahun lalu apabila mereka riang bermain bersama-sama rakan-rakan atau saudara mara.
Paling tidak pun, buat kumpulan ‘kutip’ duit raya dari rumah ke rumah bersama-sama rakan-rakan mengelilingi kampung atau taman perumahan.
Namun itu tinggal kenangan.
Justeru, sempena Aidilfitri kali ini, lupakan beberapa hari untuk berkepit dengan telefon bimbit, tetapi beramah mesralah dengan saudara mara dan tetamu yang lama tidak ditemui untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
‘Berdatinglah’ dengan semua sebaiknya.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin
Pelihara silaturahim musim pilihan raya