Ekspo yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Terengganu itu menyediakan 40 gerai jualan dan pameran terdiri daripada pemaju, institusi kewangan serta pihak guaman.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, orang ramai bukan sahaja berpeluang memiliki kediaman sendiri berdasarkan pelbagai pilihan yang ditawarkan bahkan, boleh mendapatkan maklumat dan tip bagi rumah impian masing-masing.

Menurutnya, pada masa ini, permintaan terhadap rumah di Terengganu tinggi termasuk rumah mampu milik.

“Kita nampak penganjuran Mapex begitu berjaya di luar Terengganu, jadi, kerajaan negeri berharap orang ramai dapat menggunakan sebaik mungkin platform ini bagi membantu mereka mencari kediaman yang diingini.

“Pembeli turut berpeluang menikmati pelbagai faedah termasuk potongan harga dan lain-lain,” katanya selepas merasmikan Mapex Terengganu 2017 di sini.

Yang hadir sama, Pengerusi REHDA Terengganu, Mohamad Hishamudin Muda.

Jelas Tengku Putera, ekspo itu perlu dijadikan acara tahunan selaras peranannya sebagai pusat sehenti terbaik buat pembeli rumah mencari maklumat dan panduan tentang pemilikan.

Sementara itu, Mohamad Hishamudin berkata, setakat ini, REHDA Terengganu memiliki 34 pendaftaran yang terdiri daripada pemaju hartanah dan profesional.