Kejadian banjir kali kedua pada 10 November itu menyebabkan sebahagian rumah milik Mohd. Zahir Mohd. Saad, 44, musnah dan roboh setelah dihanyutkan arus yang deras.

Katanya, dia bersyukur apabila diberitahu akan memperoleh rumah baharu di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Banggol Petai dekat sini bagi menggantikan rumah itu.

“Saya tidak menyangka rumah ini akan roboh dan hanyut apabila banjir melanda pada kali ini.

“Dalam masa terdekat ini, sudah tiga kami menghadapi banjir, sebelum ini banjir sehingga paras pinggang sahaja tetapi kali ini keadaannya air yang naik semakin serius,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Derom, semalam.

Menurutnya, setiap kali berlakunya banjir, mereka terpaksa berpindah di dewan kampung itu sebagai penginapan sementara.

Dia juga sering berulang alik melihat rumahnya itu tetapi pada 10 November lalu dia terkejut apabila mendapati sebahagian rumahnya roboh dihanyutkan arus yang deras.

Rumah Mohd. Zahir hanya dua meter dari tebing sungai yang kian terhakis apabila berlakunya hujan lebat dan air Sungai Ketil yang mengalir terlalu deras.

Sementara itu, isterinya Norismaiza Ismail, 41, berkata, ketika hujan paras air sungai akan naik begitu cepat.

“Nasib baik ketika berlaku banjir yang awal kami sempat menyelamatkan barang-barang rumah dengan pertolongan orang kampung, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), anggota tentera serta sukarelawan lain.

“Saya juga sempat membawa anak-anak Mohamad Atiq, sembilan bulan dan Mohamad Shahir, 7, dan ibu, Siti Zaharah Abd. Rahman, 68, ke tempat selamat dan kami hanya bermalam di dewan penginapan sementara kerana keadaan rumah yang amat merbahaya untuk didiami,” katanya.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dihubungi berkata, pemberian rumah PPRT Kampung Banggol Petai itu sesuai memandangkan mereka memerlukan tempat berlindung.

“Rumah itu sedia ada dan mereka boleh berpindah serta tinggal di situ dengan lebih selesa dan selamat.

“Rumah yang roboh itu tidak selamat diduduki lagi kerana tebing sungainya kian runtuh dan kita bimbang jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini yang boleh mengancam nyawa dan ke­selamatan keluarga berkenaan,” katanya.