Hujan lebat berlarutan lebih dua jam sejak pukul 10 pagi semalam mengakibatkan beberapa lokasi termasuk taman perumahan berkenaan dinaiki air sehingga 0.3 meter.

Difahamkan Sungai Pajam dan anak Sungai Air Hitam gagal menampung jumlah hujan sehingga kira-kira 65 buah rumah terjejas di taman berkenaan. Seorang penduduk, S. Dhanabalan, 53, berkata, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku sejak 13 tahun dia tinggal di kawasan berkenaan.

“Saya percaya kejadian ini disebabkan sistem saliran tidak berfungsi dengan sempurna. Kegagalan pihak bertanggunggjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung sengsara berulang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Tun Perak hari ini.

Tinjauan Utusan Ma­laysia mendapati kesan banjir boleh di­lihat di sana-sini terutama di pekarangan rumah penduduk.

Masing-masing sibuk membersihkan kawasan perumahan yang dicemari lumpur.

Berdasarkan pemerhatian walaupun banjir surut, tiada sebarang kerja-kerja pembersihan dilakukan di sungai berhampiran.

Sementara itu, Norbatiah Zulkarnai, 30 berkata, dia tidak menyangka kejadian semalam merosakkan hampir sebahagian barangan di dalam rumahnya.

“Air naik begitu cepat. Sepatutnya siren amaran banjir dibunyikan bagi memudahkan penduduk bersiap sedia untuk menyelamatkan diri namun, ketika itu berlaku sebaliknya.

“Keluarga saya sepatutnya mengadakan kenduri sempena menyambut bulan puasa tetapi terpaksa dibatalkan bagi me­numpukan kepada kerja-kerja pembersihan,” katanya.