Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri kerana sentiasa berusaha memastikan projek bernilai RM21 juta itu kembali menjadi produk pelancongan kepada Melaka walaupun pernah tergendala beberapa kali akibat masalah teknikal.

Keprihatinan kerajaan ne­geri melaksanakan semula itu ada asasnya kerana Idris sebelum ini pernah memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan berusaha memastikan sistem pengangkutan darat, udara dan laut di negeri itu berkembang maju seleras dengan perkembangan teknologi moden.

Nampaknya semua perancangan itu mampu menaikkan imej Melaka yang akan menjadi salah satu hentian persinggahan apabila projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura dijangka siap pada 2022 nanti.

Kita sama-sama berharap agar apabila projek Monorel Melaka kembali beroperasi, perancangannya dan sistem pelaksanaannya dibuat de­ngan teratur dan kemas supaya tidak wujud lagi apa-apa masalah yang mungkin boleh memberikan imej negatif kepada kerajaan negeri.

Jika boleh biarlah projek monorel itu setaraf dengan pengangkutan seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang kini menjadi salah satu pengangkutan utama di ibu negara.

Cuma ada suara-suara dari ne­geri ini apabila ditanya me­ngenai projek monorel di Me­laka memberikan beberapa cadangan supaya penggunaan dan perkhidmatannya lebih meluas.

Selain itu, ada juga cadangan supaya kewujudan monorel ini bukan setakat memberi pulangan kepada pemaju malah ia turut menyediakan peluang pekerjaan termasuk aspek perniagaan penduduk setempat selain peluang pekerjaan di syarikat monorel itu sendiri.

Tetapi memetik kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan program generasi Y di Melaka Ahad lalu, Melaka dahulunya digelar sebuah negeri Sleepy Hollow atau dengan kata lain negeri yang agak sepi tetapi mampu berubah menjadi sebuah negeri maju dan terkenal sebagai lokasi pelancongan.

Maka tidak mustahil kerajaan negeri mampu merencanakan sesuatu untuk memastikan monorel di Melaka sebagai satu tarikan baharu kepada pelancong seperti mana yang berlaku kepada aktiviti menaiki bot di Sungai Melaka dan menikmati coconut shake di Klebang.