Di ruangan ini izinkan kami menyentuh pelbagai isu yang dibangkitkan dalam kempen pilihan raya tempoh hari, antara yang paling kerap dibahaskan adalah cukai barang dan perkhid­matan (GST).

Terdapat cadangan menghapuskan GST dan berbalik kepada sistem pencukaian lama iaitu cukai jualan dan perkhidmataan (SST), ada yang menganggap ini adalah suatu langkah yang ke belakang dan boleh memudaratkan ekonomi negara.

Di ruangan ini, kami tidak berniat untuk berbincang panjang lebar, cukup untuk kita duduk dan merenungkan situasi realiti. Ada teori mengatakan; “orang kaya pun kena bayar GST.”

Dikatakan dahulu susah untuk kenakan cukai pada orang kaya, mereka boleh manipulasi untuk tidak membayar cukai atau mengurangkan cukai yang dikenakan kepada mereka. Namun, sejak ada GST mereka tidak dapat melarikan diri lagi.

Orang kaya dan orang miskin semuanya dikenakan GST, mudah untuk kerajaan memantau. Realitinya di bawah sana yang terkesan adalah orang miskin, yang jumlah peratusnya lebih besar daripada orang kaya.

Oleh kerana si miskin merasakan sudah tidak tahan lagi, maka berlakulah protes dengan menukar undi pada pilihan raya, justeru semuanya sudah terjawab. Ini kerana mereka sudah tidak sanggup lagi hidup dalam keperitan, kepedihan dan kemiskinan.

Kami PPPMM ingin mengucapkan syabas kepada peme­rintah baharu kerana dapat melunaskan beberapa janji, di mana persoalan yang dekat di hati rakyat adalah perihal GST dan bersabitan langkah pemansuhan GST.

Tan Sri Zeti Aktar Aziz berpandangan bahawa Malaysia mampu memenuhi keperluan perolehannya walaupun selepas pemansuhan GST.

A. RAHMAN MAHADI

Presiden PPPMM