Sumbangan itu adalah yang julung-julung kali dilakukan MAIPs melibatkan universiti di luar negara.

Majlis pecah tanah untuk pembinaan Fakulti al-Quran dan Hadis itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga selaku Yang Dipertua MAIPs.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam Perlis, Khairi Hassan dan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Selain itu, Rektor FTU, Dr. ­Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam hadir sama.

Khairi ketika ditemui berkata, pemberian sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat MAIPs baru-baru ini itu bertujuan untuk menjalinkan hubu­ngan strategik antara MAIPs dan FTU pada masa hadapan.

“Kita melihat FTU mempunyai potensi untuk menjadi rakan strategik apatah lagi terdapat kira-kira 10 orang pelajar negara kita khususnya Perlis menuntut di sini (FTU),” katanya.

Beliau berkata, segala perancangan dan pelan pembinaan bangunan itu akan dilakukan sendiri oleh pengurusan FTU manakala bantuan kewa­ngan di­salurkan MAIPs mengikut perkembangan projek yang di­jangka siap selama setahun.