Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Daerah Pontian, Mohd. Khalil Md. Nor berkata, selain zakat fitrah, MAINJ juga menguruskan pelbagai zakat termasuk perniagaan, tanaman, ternakan dan emas.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kutipan ekoran kesedaran dalam kalangan masyarakat me­ngenai kewajipan membuat pembayaran zakat harta yang dimiliki apabila layak syaratnya.

“Alhamdulillah, kesedaran pentingnya pembayaran zakat dan ganjaran yang diterima dari Allah telah menyebabkan semakin ramai golongan yang layak untuk melaksanakan tuntutan itu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bagi Program Makanan Sihat (PMS) kepada 26 buah Sekolah Agama (SA) di kawasan Parlimen Tanjung Piai, di SA Penerok, dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Islam Daerah Pontian, Adam Mohamed.

Program tersebut melibatkan 611 murid dengan peruntukan sebanyak RM274,950 yang disumbangkan oleh MAINJ bagi membantu murid-murid yang kurang berkemampuan untuk membeli makanan.

Selain PMS, Badan Kebajikan Sekolah Agama (BKSA) di 26 buah SA turut menerima peruntukan berjumlah RM130,000 untuk digunakan bagi menjalankan akti­vitinya.

Pihaknya menjangkakan jumlah kutipan zakat pada tahun ini turut bertambah dengan kenaikan harga tanaman komoditi seper­ti getah dan kelapa sawit serta kegiatan perniagaan yang sema­kin baik.