Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM84.91 juta atau kira-kira 78 peratus daripada kutipan telah dibelanjakan untuk lapan golongan asnaf di negeri ini.

 Beliau berkata, golongan fakir dan miskin menjadi penerima zakat terbesar diikuti golongan fisabilillah khususnya dalam bidang pendidikan.

 "Jumlah kutipan setakat ini tahun ini mencapai lebih RM 108 juta iaitu meningkat kira-kira 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM 94 juta.

 "Kita memperoleh zakat keseluruhan sebanyak RM180 juta tahun lalu dan yakin jumlah kutipan akan meningkat pada tahun ini berdasarkan trend peningkatan zakat setiap tahun," katanya selepas majlis penyerahan zakat daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di sini hari ini.

 Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Azhar Ahmad menyerahkan zakat perniagaan bagi tempoh kewangan berakhir 2017 sebanyak RM70,000 kepada pihak Maik.

 Dalam pada itu, Azhar berkata, pihaknya mengagihkan zakat perniagaan sebanyak RM1.8 juta pada tahun ini kepada semua majlis agama Islam negeri.

 "Setakat ini kita sudah menyerahkan agihan zakat kepada Terengganu, Kedah,,Selangor dan Kelantan," katanya.

 Terdahulu, pihak Maik turut menerima zakat perniagaan daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) negeri Kelantan berjumlah RM 91,431.06 yang diwakili Setiausahanya, Mohd Zin Halim. UTUSAN ONLINE