MD. ALWI CHE AHMAD

Wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD HASIF IDRIS mengajukan lima soalan berkenaan usaha yang telah dilaksanakan sepanjang menjadi wakil rakyat dan aspirasi beliau menjelang PRU-14 nanti.

UTUSAN: Apakah fokus Datuk dalam membangunkan Kok Lanas memandangkan kawasan ini adalah sebuah DUN yang agak maju di Kelantan? 

MD. ALWI: Adalah menjadi harapan saya agar Kok Lanas kekal menjadi tumpuan pusat ekonomi memandangkan sekarang ini kita telah mempunyai empat insitusi penting yang menyumbang kepada putaran modal atau kuasa beli pengguna.

Buktinya, sebuah politeknik yang mempunyai seramai 6,000 pelajar dan 300 pensyarah, kolej komuniti dengan kira-kira 4,000 pelajar,Kolej Matrikulasi dan sebuah sekolah persendirian Chung Hwa mempunyai 700 pelajar.

Dari aspek pembangunan rohani, kita telah berusaha membaiki dan membina beberapa masjid di Mukim 2 agar kedudukan Islam tetap terserlah seperti Masjid Baru Kampung Dendang, Masjid Belukar Luas dan Masjid Matrikulasi.

Selain itu, antara masjid yang sudah dibaik pulih seperti Masjid Hutan Pasir dan Kemubu dan pembinaan masjid yang menjadi mercu tanda kawasan ini adalah Masjid Ayesha dan beberapa masjid lagi perlu diperbesarkan atau dibina semula termasuk Sekolah Agama Rakyat.

Malah, tanah yang agak luas telah diperolehi melalui derma dan wakaf untuk membesarkan Sekolah Menengah Agama Itti­hadiah di Tanjung Pagar agar menjadi lebih selesa. Beberapa Pusat Tahfiz juga sedang dibantu agar ia berdaftar serta mempunya prasarana yang lengkap.

Kita lihat pelbagai usaha telah Datuk lakukan untuk memajukan dan mengubah landskap Kok Lanas daripada pembangunan fizikal sehingga pemantapan jiwa tentunya ia bukan mudah. Bagaimana Datuk atur dan laksanakan semua ini?

Alhamdulillah, saya dapat lakukan semua ini hasil soko­ngan daripada semua pihak sama ada pihak tentera, majlis daerah, Kerajaan Pusat, kementerian dan orang ramai.

Kini, Kok Lanas telah menjadi pusat ekonomi kerana ramai usahawan telah berpindah ke sini sekali gus meningkatkan kuasa beli penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga sentiasa menerima permohonan saya untuk membangunkan DUN Kok Lanas dan Parlimen Ketereh di bawah naungan Tan Sri Annuar Musa yang sentiasa bersama saya dalam membangunkan kawasan ini.

Malah, kegigihan beliau juga mendorong saya bekerja kuat untuk merealisasikan hasrat menjadikan Kok Lanas pusat ekonomi dan koridor ilmu.

Selepas beberapa penggal menjadi wakil rakyat, apakah impian Datuk untuk membantu rakyat sudah tercapai sepenuh­nya?

Belum tercapai sepenuh­nya kerana yang ada sekarang mungkin hanya 30 peratus. Saya mengimpikan Kok Lanas sebagai sebuah bandar tersusun, moden dan kekal tradisional.

Dari segi prasarana fizikal, Kok Lanas mesti lahir sebagai sebuah kawasan yang lengkap prasarana fizikalnya utk menjadi sebuah bandar satelit kepada Kota Bharu dengan ciri-ciri keislaman dan tradisional yang tersendiri.

Ada isu-isu berbangkit seperti masalah perparitan dan pembinan rumah yang tidak dirancang berlaku, boleh Datuk jelaskan?

Saya amat kecewa dengan sikap beberapa pemaju yang membina projek perumahan tanpa memikirkan soal saliran dan perparitan sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku.

Malah, tanah padi juga ditimbus sewenang-wenangnya dan pemaju membuat rumah tanpa prasarana lengkap seperti membina lampu jalan, longkang atau jalan tar.

Di kawasan bendang terdapat juga projek perumahan tanpa bekalan air bersih dan prasarana mencukupi.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri perlu tegas dalam hal ini kerana ia di luar bidang kuasa seorang wakil rakyat di sini. Jangan pemaju dapat untung, penduduk yang merana dan ADUN terpaksa menanggung masalahnya.

Apa harapan Datuk atau pe­rancangan jangka panjang untuk kawasan ini?

Kawasan ini memerlukan sebuah hospital tentera kerana ia mempunyai sebuah pangkalan terbesar iaitu Brigade Kelapan tentera. Ini kerana, semua hospital tentera sudah dibina di negeri Pantai Barat.

Begitu juga sebuah kompleks renang sukan Air perlu dibina kerana masih belum ada lagi di Pantai Timur. Selain itu, pembinaan stadium baharu untuk Kelantan sewajarnya dibina di Kok Lanas kerana berdekatan dengan pusat bandar selain kemudahan jalan raya.

Dalam pada itu, sebuah jambatan merentangi Sungai Kelantan yang menghubungkan Che­tok, Pasir Mas (dahulu merupakan sebuah pangkalan motorboat antara Kemubu, Serendah dan Chetok) wajar dibina.

Justeru, masih banyak perkara yang perlu dibuat walaupun ia tidak dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum lalu.