Itu adalah ciri-ciri lotong cenekah atau lebih dikenali de­ngan nama Raffles’ Banded Langur, Banded Leaf Monkey atau Banded Surilli. Nama saintifiknya Presbytis Femoralis Femoralis.

Fizikalnya sama dengan lotong yang biasa kita lihat. Purata berat lotong cenekah kira-kira 6 kilogram, tinggi 59 sentimeter dan biasanya bergerak dalam kumpulan kecil antara lima hingga 12 ekor dan ‘dunianya’ hanya dalam hutan seluas kira-kira 20 hektar.

Mungkin ramai tidak sedar bahawa lotong cenekah hanya terdapat di Johor dan Singapura. Dikatakan juga haiwan berkenaan pernah ditemukan di Pahang satu ketika dahulu namun apa yang pasti, haiwan tersebut kini diancam kepupusan yang serius.

Haiwan berkenaan merupakan satu daripada 25 subspesies monyet di negara ini. Sekiranya diburu dan dijual di pasaran gelap antarabangsa, boleh memperoleh pendapatan jutaan ringgit kerana nilai komersialnya dan sukar ditemukan.

Difahamkan punca kehilangan atau kepupusan sebahagian besarnya daripada aktiviti pembangunan dan penerokaan hutan secara berleluasa.

Hal ini banyak berhubung kait dengan kemusnahan hutan yang tidak sistematik dan terkawal.

Berdasarkan bancian dan kajian dilakukan Jane Goodall Institute Singapore (JGIS), bilangan lotong cenekah di republik tersebut hanya kira-kira 40 ekor tetapi bukan berkeliaran dalam hutan sebaliknya ditempatkan khas di Central Catchment Nature (CCN).

Timbalan Presiden JGIS, Dr. Andie Ang yang menjalankan kajian sejak 2008 di bawah National University of Singapore (NUS) berkata, hidupan liar itu terdapat dalam hutan di tiga daerah di Johor dan bilangannya lebih banyak daripada ditempatkan di CNN.

Andie Ang berkata, haiwan istimewa itu pertama kali ditemukan Sir Stamford Raffles di Singapura pada 1822 sekali gus menemukan lokaliti untuk lotong cenekah. Begitu juga kemudiannya ditemukan di Malaysia iaitu di Johor dan Pahang.

Ketika ini penyelidikan secara kolektif diketuai Andie Ang sudah dimulakan di Singapura pada Ogos tahun lalu melibatkan kerjasama 15 organisasi di republik tersebut dan Malaysia. Mereka membina satu Pelan Tindakan Spesies khusus untuk lotong cenekah.

Beberapa pihak di republik itu yang terlibat antaranya JGIS, NUS, Nature Society Singapore (NSS), Wildlife Reserves Singapore (WRS) dan National Parks Board sementara di Malaysia membabitkan Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Per­hilitan), Jabatan Perhutanan, Taman Nasional Johor dan universiti di negara ini.

Menerusi kerjasama tersebut, pelan tindakan untuk tempoh 50 tahun dipersetujui antaranya haiwan berkenaan mesti dibiarkan hidup bebas serta berkembang biak dalam habitat asal dan populasinya di hutan tanpa diganggu-gugat. Ini termasuk mengetahui pokok atau tumbuhan yang menjadi sumber makanannya tidak dimusnahkan.

Lotong cenekah juga harus disedari sebagai satu khazanah peninggalan tidak ternilai untuk kedua-dua negara yang harus dilindungi, dihargai dan difahami sekali gus usaha berkenaan mempamerkan konservasi yang sinergistik melibatkan dua negara berjiran.

Inisiatif ini penting dalam memastikan kelangsungan hidup­nya untuk jangka masa panjang dan perlu dilakukan sekarang melibatkan semua pihak antaranya agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti dan pihak lain yang berkaitan.

Kos untuk projek itu adalah minimum RM1 juta. Pada masa sama usaha tersebut juga perlu melibatkan kempen dan penyebaran maklumat serta pengetahuan kepada orang ramai dalam usaha memberikan kesedaran mengenai lotong cenekah.

Bagi menjayakannya, proses pengumpulan data menerusi kajian dan penyelidikan perlu dilakukan segera selain mengetahui status dan bilangan sebenarnya. Sebarang pelan atau projek pemuliharaan haiwan itu wajar disokong semua pihak.

Kita tidak mahu satu hari nanti spesies monyet yang istimewa ini tidak diketahui atau dikenali generasi akan datang yang ha­nya melihatnya melalui rakaman foto dan video.

Justeru, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan digesa menyokong usaha ini dengan me­nyalurkan dana khas yang akan memberi kesan kepada kesinambungan dan kemandiran spesies berkenaan untuk jangka masa panjang.